Berdoalah...Allah Itu Maha Mendengar


S
alah satu nama Allah yang baik dan indah ialah al-Sami'. Allah Maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan dan luahan rasa daripada hamba-hambanya setiap masa, tempat dan ketika. Antara suara yang paling Allah cintai selain daripada tangisan hamba-hamba Nya yang bertaubat ialah doa daripada hamba Nya yang meminta.
            Allah setia mendengar rintihan hamba-hambanya Nya ibarat “kekasih” yang saling mencintai. Jika kekasih dalam kalangan manusia mungkin akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang kali, sebaliknya Allah tidak sebegitu. Berdoalah nescaya Aku akan perkenankan. Demikian yang Allah tegaskan di dalam al-Quran.
            Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih dalam doa mereka kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, kadi atau hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua atau tiga masalah pada sesuatu masa serentak.
          Itu lah kehebatan Allah sebagai al-Sami’. Allah sudi dan mampu mendengar doa daripada hamba-hamba Nya dalam satu masa!. Dia Mulia dan Agong kerana kesudian dan kesediaan Nya mendengar rintihan dan doa tanpa jemu, tanpa mengira pangkat, darjat, harta dan rupa. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil.
            Bayangkan, bagaimana Allah mampu melayan pelbagai doa daripada berbillion-billion manusia. Daripada doa seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada doa seorang soleh yang memohon dipermudahkan urusan pengabdian kepada Nya, namun Allah tetap sudi mendengar. Oleh sebab itu Allah bukanlah sahaja mendengar tetapi Dia Maha Mendengar.
            Keadaan ini berbeza dengan sikap manusia, sesame mereka terlalu ego dan bersikap berat sebelah, termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap itu tinggi pangkatnya, maka orang bawahan senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, mungkin mendengarnya sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum sempat dihabiskan percakapannya. Kalau si kaya menegur, semua pihak menelinga dan tunduk akur. Tetapi apabila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba.
            Mengapa begitu sikap kita? Mengapa kita tidak boleh terdidik dengan sifat Allah yang mendengar? Malah lebih malang lagi, kita perlu berat hati untuk menadah tangan berdoa kepada Nya. Mengapa? Adakah mereka rasa Allah tidak mendengar atau malas hendak berdoa?
            Sebenarnya, malas berdoa ialah tanda kekerasan hati dan kesan daripada keras hati itu akan menyebabkan kita ditimpa kesusahan didunia dan azab diakhirat. Sebaliknya dengan berdoa hati akan menjadi lembut, fikiran akan menjadi cerdas, perasaan akan menjadi tenang dan anggota akan menjadi cergas.
            Jadi doa bukanlah petanda lemah. Tetapi ia adalah sifat manusia yang sangat gagah. Insyaallah pembaca akan temui hakikat itu dalam isu kali ini. Antara mustajab dengan terhijab, di manakah doa kita? Sudikanlah mendengar peringatan daripada yang maha mendengar….