Khamis

"JANGAN KEDEKUT MENDOAKAN IBU BAPA"

Ibu melahirkan kita ke dunia, menyusukan dan membesarkan. Ayah pula memastikan kelangsungan hidup seorang anak dan keperluan kita dipenuhi tanpa ada kekurangan walaupun sedikit.
Ibu bapa tidak pernah inginkan apa-apa sebagai balasan. Apatah lagi mereka tidak meminta apa-apa melainkan untuk melihat anak-anak hidup bahagia. Hakikatnya tiada harta dunia ini yang mencukupi untuk membalas jasa mereka.
Malang sungguh, berapa kerat anak-anak kini yang konsisten mendoakan kedua-dua orang tua mereka?. Amalkan selepas solat fardhu lima waktu doa memohon kesejahteraan mereka.

رَبِّ ارْحَمهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

Maksudnya: :"Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
 

Rabu

ASSALAMUALAIKUM YA RASULALLAH....

Di Mana Rasulallah Makan?

Anas bin Malik r.a meriwayatkan: "Rasulullah s.a.w tidak pernah makan di atas meja dan tidak pula menggunakan piring kecil. Baginda juga tidak pernah dijamu roti yang diperhaluskan."

Yunus (salah seorang periwayat hadis ini) berkata:"Saya bertanya kepada Qatadah, Lalu di atas apakah mereka makan?" Ia menjawab: "Di atas sufrah (kulit atau kain yang dihamparkan) semacam ini." (Riwayat al-Bukhari, al-Tarmizi, Ibn Majah dan Ahmad)

Anas bin Malik juga meriwayatkan: "Rasulallah s.a.w tidak pernah makan di atas meja makan dan tidak pernah memakan roti yang sudah diperhaluskan hingga Baginda wafat." (Riwayat al-Bukhari, al-Tarmizi, Ibn Majah dan Ahmad)

Selasa

HADIS QUDSI

KEUTAMAAN BERDOA


Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
"Tuhan kita turun pada setiap malam ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir dan berfirman, sesiapa yang berdoa kepada Ku maka Aku memenuhinya. Sesiapa yang memohon kepada Ku maka Aku akan memenuhinya dan sesiapa yang meminta ampun kepada Ku akan Aku mengampuninya..."